1.0 PENGENALAN
Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan
dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan
lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja
sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda,
pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk
Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru
atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa
yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.
Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada
proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi
masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh
kepada ajaran agama dan nilai sejagat, katanya. Menurut beliau, Kementerian
Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan
bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P)
di sekolah.
"Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru
dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu
digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.
"Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan
martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh
masyarakat," terangnya. Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen
perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap
profesionalisme masing-masing.
Namun, pada masa kini tugas guru telah dipersoalkan dalam
semua bicara. Tugas guru yang dahulunya terlalu diangkat tinggi oleh masyarakat
sekeliling telah menjadi satu bidang yang telah dipersoalkan mutunya. Ramai
masyarakat berpendapat profesion keguruan tidak mencapai standard yang telah
ditetapkan dan ini merupakan salah satu isu yang tidak patut timbul di kalangan
masyarakat. Siapakah yang patut dipersoalkan? Guru, murid, staf sekolah ataupun
masyarakat sekeliling?
2.0 ISU MURID SEKOLAH GAGAL MEMBACA DAN MENULIS
Saya ingin merujuk kepada tulisan Hassan Salleh bertajuk
'Di Manakah Silap Guru' di ruangan ini yang menyentuh soal wujudnya murid-murid
yang masih tidak boleh membaca dan menulis. Ketika negara memasuki fasa kedua
menuju Wawasan 2020, terdapat lebih 100,000 murid tahun dua hingga enam sekolah
rendah di seluruh negara didapati tidak tahu membaca, menulis dan mengira.
Datuk Mohd. Sarit Yusoh berkata, ``Tidak guna kita laungkan ingin menjadi negara
maju ke hulu ke hilir, melaungkan Wawasan 2020 tetapi terdapat tiga peratus
murid sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Kita tidak boleh
biarkan perkara ini berlaku. Kementerian Pelajaran perlu mempunyai program
jangka panjang bagi memastikan tidak ada lagi murid-murid sekolah rendah tidak
tahu membaca, menulis dan mengira.'' Beliau merasakan Kementerian Pelajaran
tidak melakukan pemantauan sewajarnya terhadap murid-murid sekolah rendah
sehingga timbul masalah itu.
Selain itu,
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengakui hampir semua
sekolah rendah di seluruh negara ada menempatkan murid yang tidak tahu membaca,
menulis dan mengira pada masa ini. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng
berkata, senario membimbangkan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk
kekurangan guru bagi mengendalikan kelas pemulihan bagi murid yang mengalami
masalah membaca dan menulis. ``Masalah ini sudah lama berlaku, ia hampir
berlaku di setiap sekolah rendah. Kerajaan pernah cuba menangani masalah ini
dengan mewujudkan kelas pemulihan bagi membantu murid ini. ``Tetapi kita dapati
guru yang mengendalikan kelas ini amat terbatas, ada sekolah yang menyediakan
hanya seorang guru untuk mengendalikan kelas pemulihan bagi semua kelas tahun
satu hingga tahun tiga,''
Jawapan saya sebagai seorang guru yang telah lima tahun
belajar di institut pendidikan guru ialah di institut pendidikan guru, kami
diajar bahawa murid yang tidak mengikut peraturan perlu dihukum. Tapi
hakikatnya di sekolah, semua jenis hukuman ditangguhkan. Hukuman terbesar
seperti buang sekolah pun boleh dibangkang oleh murid kerana kita ada dasar
pendidikan wajib 11 tahun. Jadi semua murid boleh melanggar semua peraturan
sekolah, seperti ponteng kelas dan tidak perlu menyiapkan kerja sekolah kerana
tidak ada satu peraturan yang boleh menyentuh mereka. Murid boleh berjalan
keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar dan tidak ada siapa boleh
menghalang mereka.
Di institut pendidikan guru, kami diajar supaya
mendahulukan kepentingan murid berbanding sekolah. Tapi hakikatnya di sekolah,
guru disuruh bertungkus-lumus membuat kerja perkeranian sehingga tidak ada masa
untuk mengajar. Terbaru di negeri Johor, pertandingan dibuat di antara
sekolah-sekolah untuk mencari siapakah guru yang paling cekap membuat kerja
perkeranian dan mengurus fail. Tentunya guru yang menang itu akan diberi
anugerah dan dapat mengharumkan nama pengetua. Tapi kebanyakan guru yang menang
itu tidak pernah memenangkan murid dalam apa-apa pertandingan pun. Di institut
pendidikan guru, kami diajar supaya memikirkan cara bagaimana hendak
mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya murid yang pelbagai kerenah boleh
dibantu. Tapi hakikatnya di sekolah, yang dipelbagaikan ialah jenis
jawatankuasa, borang dan fail, bukan teknik pengajaran. Akhirnya setiap guru
akan memegang 10 hingga 15 jawatan dalam pelbagai jawatankuasa, dan murid
kadang-kadang satu buku pun tidak ada.
3.0 KAITAN
DENGAN ETIKA PERGURUAN
Integriti mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah
kejujuran dan ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Ia juga merangkumi
keikhlasan, keterbukaan, amanah, berpegang kepada prinsip, sukar dipengaruhi
dan boleh dipercayai. Dalam teras memartabatkan profesion keguruan, integriti
merupakan dorongan dalaman agar guru melaksanakan amanah mendidik anak bangsa
sebaik-baiknya serta berusaha meningkatkan keupayaan diri.
Dalam permasalahan ini, guru memainkan peranan yang amat
penting sebagai pendidik masyarakat. Guru mestilah prihatin dan peka terhadap
keadaan atau kondisi pembelajaran murid-murid mereka. Apabila guru dapat
mengesan murid yang menghadapi masalah membaca dan menulis ini, guru mestilah
segera mengambil tindakan yang khusus untuk membendung masalah ini sebelum
menjadi lebih kritikal. Isu yang terlibat dalam masalah ini ialah isu
kepedulian guru.
Menurut beberapa orang tokoh, kepedulian guru bermaksud
perwakilan komposit perasaan, pemikiran, dan perhatian yang diberikan kepada
sesuatu isu atau tugas dan gabungan perasaan, pemikiran dan perhatian yang
diberi oleh guru terhadap isu yang dihadapi semasa melaksanakan tugasnya.
Kepedulian guru boleh dikategorikan kpd 3 peringkat iaitu
i.
Penyempurnaan diri
ii. Tugas-tugas pengajaran
iii.
Impak pengajaran
Kepedulian terhadap impak pengajaran terlibat secara
langsung dalam masalah ini iaitu guru perlu yakin terhadap kebolehan murid dan
perlu lebih fokus kepada keperluan murid dan penambahbaikan yang perlu
dilakukan kepada murid yang terlibat. Guru yang mementing kepedulian perlu
mewujudkan suasana kondusif, memahami pelajar secara individu, berempati dan
memenuhi keperluan akademik dan emosi pelajar dengan sepenuhnya.
4.0 PUNCA
Selain
faktor kekurangan guru kelas pemulihan, masalah ini juga disebabkan oleh faktor
berikut:
4.1
Murid kelas pemulihan juga terpaksa
mengikuti kelas sukatan pelajaran lain, jadi mereka tidak boleh memberi tumpuan
sepenuhnya dalam kelas pemulihan. Kebanyakan guru tidak mempedulikan tahap
murid di dalam kelas masing-masing. Mereka berasa culas untuk mengasingkan
murid-murid yang lemah ini. Bagi mereka, yang penting sekali adalah untuk
menghabiskan silibus yang diwajibkan ke atas mereka tanpa mempedulikan
murid-murid yang akan ketinggalan.
4.2
Murid tidak mendapat pendidikan asas
dari awal (prasekolah) sehingga menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan
kelompok murid pintar. Hal ini juga melibatkan peranan ibubapa sebagai guru di
rumah. Ibubapa perlu mendedahkan anak mereka dengan pendidikan awal untuk
membiasakan mereka dengan keadaan pembelajaran. Ramai murid yang baru memasuki
Tahun 1 tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang baru dan
ini mengakibatkan mereka berasa janggal dan tidak dapat mengikut pembelajaran
di dalam bilik darjah. Selain itu ada juga murid lewat mendaftar masuk kelas
tahun satu (ada yang lewat hingga satu dan dua bulan) menyebabkan mereka tidak
mengikuti pendidikan asas membaca dari awal.
4.3 Masalah keluarga, murid kerap tidak hadir
ke sekolah sehingga ketinggalan dalam proses pembelajaran. Ada segelintir ibubapa
yang memandang ringan terhadap kehadiran anak-anak mereka ke sekolah.
Kadang-kadang ada murid yang tidak menyiapkan kerja sekolah, malas untuk bangun
awal untuk ke sekolah, berpura-pura sakit dan sebagainya. Ibubapa yang terlalu
manjakan anak mereka akan melayan kerenah anak mereka dan apabila murid-murid
tidak menghadirkan diri ke sekolah, mereka akan ketinggalan dalam pembelajaran
dan kadang-kadang guru tidak akan mengulang kembali pengajaran yang telah
dilakukan dan ini telah menyebabkan salah satu punca murid-murid tidak dapat
membaca dan menulis.
4.4 Wujud kelompok murid yang mempunyai daya
pemikiran yang pantas dan lembap. Jika tidak diasingkan, yang lembap akan terus
ketinggalan. Dalam aspek kepedulian, guru perlu peka dan prihatin terhadap
kemampuan murid sendiri. Jika terdapat murid yang mempunyai daya pemikiran yang
tajam dan pantas, mereka perlu diasingkan dari murid yang lain. Guru perlu
sensitif dan mengambil berat akan masalah ini. Kadang-kadang guru berasa selesa
dengan murid yang selalu faham dan tidak pernah bertanyakan mengenai isi
pembelajaran dan langsung melupakan murid-murid yang lemah dan tidak faham akan
pengajaran guru.
4.5 Murid tidak mempunyai sebarang minat
untuk belajar. Masalah ini merupakan masalah yang paling berat dan perlu
dipandang serius oleh setiap guru.jika timbul sekelumit perasaan ini dalam diri
klien mereka, maka tugas guru akan menjadi lebih mencabar dan rumit. Guru dan
ibubapa perlu bersekongkol untuk memastikan masalah ini tidak timbul dalam
sanubari kanak-kanak walaupun sekelumit.
4.6 Kaedah Pengajaran Guru salah satu punca
berlakunya masalah membaca dalam kalangan murid. Masalah dalam kaedah
pengajaran guru yang dapat dirumuskan kepada tiga punca utama, iaitu
(i)
kurang pengalaman,
(ii)
penggunaan kaedah pengajaran membaca secara beramai-ramai dan individu
(iii)
tidak ada kaedah yang berkesan dalam pengajaran membaca.
4.7 Faktor seterusnya yang dikenal pasti
punca berlakunya masalah membaca dalam kalangan murid ialah persekitaran yang
tidak kondusif. Terdapat tiga faktor persekitaran yang ditemui dalam iaitu
(i)
keluarga,
(ii)
sekolah
(iii)
rakan.
4.8 Faktor sekolah juga adalah penyumbang
kepada masalah ini. Masalah membaca ini sepatutnya sudah selesai atau tidak
lagi ada bagi murid darjah 6. Contoh saya pada masa ini lebih fokus kepada
murid untuk menghadapi peperiksaan UPSR , saya tidaklah lagi akan banyak
menumpukan perhatian kepada mengajar membaca murid-murid yang lemah ini, kerana
bagi saya murid darjah 6 ini mesti lulus peperiksaan PSR ini nanti. Caranya
saja ialah murid yang lemah ini diajar oleh guru-guru lain khusus untuk membaca
sahaja. Bagi saja ini sudah terlambat. Sepatutnya mengatasi kelemahan membaca
ini sudah bermula sejak murid itu dikenal pasti lemah membaca itulah. Kerana pada
Darjah 1, 2 atau 3 mereka ini sepatutnya sudah mantap dengan kemahiran membaca.
Jadi bila dia berada di darjah 4, 5 dan 6 tumpuan guru hanya kepada pengajaran
mata pelajaran seperti Matematik, Sains, Geografi, Bahasa Inggeris dan Bahasa
Melayu.
4.9 Faktor Psikologi
Minat
dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca.
Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami
proses pembacaannya. Terdapat dua factor yang berkaitan dengan psikologi, iaitu
(i)
kurang minat belajar dan
(ii)
kurang mengambil perhatian semasa belajar.
Faktor
tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya
masalah membaca dalam kalangan murid.
4.10 Faktor Individu
Faktor
individu berkait rapat dengan kecerdasan dan kebolehan membaca. Murid-murid
yang mempunyai kecerdasan yang tinggi selalunya berpeluang memahami dengan
cepat bahan bacaan yang dibaca berbanding murid yang lemah membaca. Dalam
konteks kajian ini, faktor individu ialah faktor yang berkaitan dengan
kecerdasan murid lemah dalam pembelajaran dan membaca. Murid-murid ini juga
mempunyai ingatan yang lemah dan tidak dapat mengingat maklumat dan apa yang
telah dipelajari dalam jangka masa yang panjang. Faktor kecerdasan murid atau
individu adalah berkait rapat dengan kebolehan membaca mereka. Kecerdasan murid
yang rendah menjadikan individu berkenaan tidak boleh mengingati apa yang
dipelajari untuk jangka masa panjang dan menyebabkan murid-murid ini membuat
tanggapan yang meleset dari apa yang telah dipelajari
5.0 KESAN
DAN AKIBAT
Kemahiran membaca merupakan aspek yang sangat penting
dalam menguasai sesuatu ilmu pengetahuan. Seseorang yang mempunyai kemahiran
membaca dengan mudah dapat memperolehi serta meningkatkan ilmu pengetahuan
dalam pelbagai bidang. Sehubungan itu kemahiran asas yang diajar di sekolah,
sejak zaman berzaman yang lalu, ialah menguasai kemahiran membaca dan menulis.
Para pendidik bersetuju bahawa membaca merupakan petanda pencapaian akademik
yang paling signifikan.
Namun begitu, walaupun penekanan diberikan terhadap
kemahiran-kemahiran tersebut, sehingga kini masih terdapat murid-murid yang
tidak dapat menguasai kemahiran tersebut. Keadaan ini tidak dapat dipandang
ringan kerana dalam zaman globalisasi ini, dengan perubahan yang mendadak dari
segala aspek kehidupan, pendidikan terus berperanan bukan sahaja sekadar untuk
mencelikkan mereka yang buta huruf dan buta angka, tetapi turut berperanan
untuk mencelikkan generasi muda kita yang buta IT, buta jati diri, buta budaya,
buta nilai, budi bahasa dan sopan santun. (Majalah Pendidik Bil 55/ Dis 2008)
Kegagalan murid membaca dengan baik seringkali dikaitkan
dengan kegagalan dalam peperiksaan. Kegagalan dalam peperiksaan ini banyak
dipengaruhi oleh kesukaran murid-murid untuk memahami isi kandungan pelajaran
yang dipelajari disebabkan oleh kegagalan mereka membaca dengan baik.
Murid yang menghadapi masalah membaca ini juga didapati
berhadapan dengan masalah untuk menguasai mata pelajaran lain selain Bahasa
Melayu. Akibat daripada kelemahan menguasai kemahiran membaca ini, pencapaian
mereka terhadap mata pelajaran lain seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Sains
juga terjejas.
Minat dan motivasi sangat dominan dan berperanan dalam
membina tabiat suka membaca. Di samping itu, dorongan dan pemupukan minat perlu
ditanamkan oleh guru, ibu bapa serta komuniti setempat. Minat yang tinggi
terhadap membaca membolehkan individu tersebut berjaya dalam kehidupannya.
Murid yang lemah menguasai kemahiran membaca akan menghadapi berbagai-bagai impak
psikologi. Murid yang lemah dan tidak pandai membaca akan disingkirkan oleh
kawan-kawan mereka, menyebabkan murid ini terasa terasing dan tidak dipedulikan
menyebabkan mereka tidak minat belajar. Saya mendapati murid yang lemah membaca
ini selalu merasa rendah diri di kalangan kawan-kawan mereka kerana mereka tahu
yang mereka ini tidak ada kebolehan seperti kawan-kawan mereka itu. Disebabkan
mereka tidak boleh membaca menyebabkan murid ini malas untuk belajar mungkin
kerana terlalu banyak sudah mencuba akhirnya mereka merasa malaslah untuk
mencuba. Murid yang lemah membaca ini juga kurang motivasi untuk belajar
berbanding murid yang pandai membaca.
6.0 LANGKAH
MENGATASI
Tanggungjawab guru dalam proses pengajaran dan
pembelajaran sememangnya berat kerana guru bukan sahaja bertanggungjawab
memberi pengalaman kepada pelajar dalam bidang mata pelajaran yang diajar
tetapi ia juga bertujuan membentuk pelajar menjadi seorang pelajar yang
cemerlang. Kalau itu tidak mencukupi banyak lagi tugas dan tanggungjawab guru
yang ditanggungnya di luar proses pengajaran. Tugas guru bukannya mudah kerana
ada banyak perkara lain yang dianggap seseorang guru harus boleh lakukan
sungguh pun guru itu tidak mendapat latihan khusus dalam bidang itu.
Tanggungjawab dalam bidang pengajaran dan pembelajaran
membaca bukannya terhad pada seseorang guru sahaja. Untuk setiap mata pelajaran
disediakkan buku teks. Ini bererti setiap guru mata pelajaran juga harus
menjadi seorang guru bacaan. Kalau ditanya kepada guru, ramai akan mengatakan
bahawa buku teks digunakan sebagai rujukan atau untuk memberi latihan kepada
pelajar. Persoalannya ialah bilakah pelajar betul-betul berpeluang untuk diberi
kemahiran membaca dalam erti kata membaca dengan penuh perhatian. Begitulah
juga keadaannya di dalam kelas bahasa, membaca tidak begitu penting, yang
penting ialah menjawab soalan kefahaman, lalu kita akan bertanya tanggungjawab
siapakah untuk mengajar membaca. Latihan yang diterima oleh guru dalam bidang
membaca terlalu minima dan ada guru yang tidak pernah menerima sebarang
pendedahan tentang pengajaran membaca dan ilmu membaca terutamanya guru mata
pelajaran. Kefahaman tentang ilmu membaca terlalu penting untuk diabaikan dalam
proses pendidikan guru. Sekurang-kurangnya apabila seorang guru itu tamat
pengajiannya dia telah pun menerima pendedahan dalam bidang ilmu membaca dan
pengajaran membaca.
Pihak Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan beberapa
program di sekolah antaranya program KIA2M atau Kelas Intervensi Awalan Membaca
dan Menulis serta program pemulihan bagi memastikan murid-murid dapat menguasai
kemahiran membaca dan menulis sejak di peringkat awal lagi. Program Kelas
Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) bertujuan untuk membantu murid yang
belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun
satu. Kumpulan murid ini adalah terdiri daripada mereka yang lambat atau belum
menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Mereka ini bukan hanya terdiri
daripada murid pemulihan khas tetapi juga dari kalangan murid yang hanya
perlukan pemulihan dalam kelas. Oleh itu strategi pengajaran dan pembelajaran
yang hendak digunakan perlulah sesuai dengan keperluan untuk membantu murid ini
menguasai kemahiran asas ini dengan seberapa segera yang boleh.
a.
Berpusatkan Guru
Guru
merancang dan menjalankan tugas secara individu dan murid akan belajar
berdasarkan apa yang disampaikan dan diarahkan oleh guru sahaja.
b.
Berpusatkan Murid
Murid
diberi galakan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang
dirancangkan sama ada secara individu, kumpulan kecil ataupun kelas.
c.
Berpusatkan Bahan
Bahan-bahan
pembelajaran yang diperlukan telah disusun, sesuai dengan perancangan yang
dibuat. Murid diberi penerangan yang jelas tentang keperluan aktiviti yang akan
dijalankan.
d.
Pendekatan secara kelas
Pendekatan
secara kelas perlu juga dijalankan supaya murid dapat melibatkan diri dan
meningkatkan keyakinan diri dalam aktiviti berkumpulan yang lebih besar. Aktiviti
ini lebih sesuai dijalankan di awal dan di akhir waktu belajar.
e.
Pendekatan secara berkumpulan
Konsep
pengajaran dan pembelajaran berkumpulan berasaskan kepada perubahan strategi
pengajaran yang berpusatkan guru kepada strategi yang berpusatkan murid.
Kumpulan kecil yang ahlinya terdiri daripada murid yang menghadapi masalah yang
sama atau hampir sama dibentuk. Guru menjalankan pengajaran dengan menggunakan
modul pengajaran yang disediakan.
f.
Pendekatan secara individu
Guru
menumpukan perhatian kepada murid secara individu bagi membantu membimbing
untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Selain itu bantuan daripada rakan
sebaya juga boleh digunakan jika perlu.
7.0 PENUTUP
Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk
dan juga untuk kanak-kanak berke[perluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria
sangat sesuai digunakan. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu
kaedah, maka guru hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang disaran dalam
kaedah itu. Sekiranya guru tidak mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan
atau mengikut sebahagian darikpada langkah sahaja, maka guru tidak boleh
mengatakan yang dia menggunakan kaedah tersebut.
Dengan jumlah penduduk yang tidak ramai dan dilengkapi
dengan kemudahan pendidikan yang serba maju, sepatutnya masalah tidak boleh
membaca ini tidak boleh berlaku atau sekurangnya dalam jumlah yang sedikit.
Terdapat banyak faktor yang telah dikenal pasti. Oleh itu, agensi-agensi bawah
Kementerian Pelajaran seperti Pusat Perkembangan Kurikulum, Bahagian Buku Teks,
Bahagian Pendidikan dan Latihan Guru, Jabatan Pendidikan Dearah dan lain-lain
perlu mengenalpasti langkah-langkah untuk mengatasi masalah ketidakbolehan
membaca dalam kalangan murid ini.
Dalam kajian ini,
saya dapat mengasah lagi kemahiran dan ilmu saya dalam bidang perguruan. Saya
dapat mengkaji dan memahami beberapa masalah yang semakin meruncing dalam
profesion keguruan. Saya harap, melalui kajian ini dapat saya manfaatkan dengan
sepenuhnya untuk kegunaan saya pada masa hadapan.
8.0 BIBLIOGRAFI
BUKU
Syed Ismail Bin Syed Mustafa, Ahmad Subki Bin Miskon, Asas
Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru, 2010, Kuala Lumpur
terbitan Multimedia Sdn Bhd.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, Asas
Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru, 2010, Kuala Lumpur
terbitan Oxford Fajar Sdn Bhd
WEB
9.0 REFLEKSI
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi
kerana dengan limpah kurnianya, saya telah dapat menyiapkan Kerja Kursus Projek
(KKP) bagi subjek (EDU 3108) Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru dengan
jayanya. Bagi melaksanakan kerja kursus ini, saya telah memilih satu kajian
mengenai isu masalah membaca dan menulis di kalangan murid sekolah. Projek ini
juga bertujuan untuk meningkatkan kepekaan saya terhadap isu-isu semasa dalam
profesion keguruan.
Apa yang saya
dapat kaji dalam projek ini ialah keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak
adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini.
Oleh itu guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan
pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan semata-mata
tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian
pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan
penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik.
Daripada pengalaman saya menyiapkan
KKP ini, banyak ilmu dan pengalaman yang cukup berguna kepada saya sebagai
seorang bakal pendidik di era globalisasi ini. Antara pengalaman berguna yang
saya perolehi dalam kajian ini ialah saya dapat memaksimakan pengetahuan saya
dalam bidang guru terutama sekali dalam isu masalah menulis dan membaca di
kalangan murid sekolah. Saya telah mengkaji dengan mendalam dan dapat mengenal
pasti segala akar umbi masalah ini dan syukur pada Tuhan, saya juga dapat
menigkatkan ilmu saya dalam subjek Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional
Guru.
Akhir sekali, jutaan terima kasih
saya ucapkan kepada Puan Latifah A.Jamil selaku pensyarah bagi mata pelajaran Asas
Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru yang telah banyak memberi tunjuk
ajar dan ilmu berguna kepada saya sepanjang menyiapkan kajian ini. Tidak lupa
juga kepada semua waga kelas Kajian Sosial 1 yang telah memberi kerjasama dan
bantuan sepanjang saya menjalankan kajian ini. Terima kasih juga kepada ahli
kumpulan saya iaitu Rahman dan Noh Hilmi diatas bantuan dan panduan kalian
dalam membetulkan segala salah silap saya dalam kajian ini.
10.0 LAMPIRAN
100,000 murid tahun 2
hingga 6 tidak tahu membaca
Dalam Negeri
Petikan Berita Utusan
Malaysia 12 Oktober 2005
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Ketika negara memasuki fasa kedua menuju
Wawasan 2020, terdapat lebih 100,000 murid tahun dua hingga enam sekolah rendah
di seluruh negara didapati tidak tahu membaca, menulis dan mengira.
Datuk Mohd. Sarit Yusoh (BN-Temerloh) semasa mendedahkan
angka itu berkata: ``Tidak guna kita laungkan ingin menjadi negara maju ke hulu
ke hilir, untuk melaungkan Wawasan 2020 tetapi terdapat tiga peratus murid
sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira. ``Kita tidak boleh
biarkan perkara ini berlaku. Kementerian Pelajaran perlu mempunyai program
jangka panjang bagi memastikan tidak ada lagi murid-murid sekolah rendah tidak
tahu membaca, menulis dan mengira.'' Beliau menyatakan demikian ketika
membahaskan Bajet 2006 pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. Bagi sebuah
negara seperti Malaysia, kata Mohd. Sarit lagi, keadaan itu tidak seharusnya
berlaku.
Beliau merasakan Kementerian Pelajaran tidak melakukan
pemantauan sewajarnya terhadap murid-murid sekolah rendah sehingga timbul
masalah itu. Sehubungan itu ahli Parlimen tersebut menggesa agar dilaksanakan
program bagi mengatasi masalah berkenaan yang dianggapnya sebagai defisit
pendidikan. Mohd. Sarit juga membangkitkan mengenai infrastruktur pendidikan
yang tidak selari di seluruh negara kerana ada sekolah-sekolah yang tidak ada
bekalan air, elektrik dan kemudahan lain. ``Apa yang menjadi persoalannya ialah
bukan kita tidak mampu, kalau tidak mampu lain cerita. Ini kita mampu,
bagaimana keadaan ini boleh berlaku,'' ujarnya.
Sehubungan itu beliau meminta Kementerian Pelajaran
menyelesaikan masalah itu dengan segera dengan harapan ia tidak lagi timbul
tahun depan.
NUTP akui banyak murid tak
tahu baca
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) mengakui hampir semua sekolah rendah di seluruh negara ada menempatkan
murid yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira pada masa ini.
Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, senario
membimbangkan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kekurangan guru
bagi mengendalikan kelas pemulihan bagi murid yang mengalami masalah membaca
dan menulis. ``Masalah ini sudah lama berlaku, ia hampir berlaku di setiap
sekolah rendah. Kerajaan pernah cuba menangani masalah ini dengan mewujudkan
kelas pemulihan bagi membantu murid ini.
``Tetapi kita dapati guru yang mengendalikan kelas ini
amat terbatas, ada sekolah yang menyediakan hanya seorang guru untuk
mengendalikan kelas pemulihan bagi semua kelas tahun satu hingga tahun tiga,''
katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas kenyataan seorang penyokong kerajaan
yang mendedahkan 114,000 murid dari tahun dua hingga tahun enam di seluruh
negara tidak tahu membaca, menulis dan mengira.
Kementerian sedar wujud
murid tidak tahu membaca
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pelajaran menyedari wujudnya
masalah murid yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira seperti yang
dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,
usaha mengatasi masalah itu sedang dilakukan termasuk persetujuan Kabinet
supaya guru pemulihan khas segera ditambah segera ke sekolah terbabit. ``Jadi
tugas kita sekarang adalah untuk bekerjasama dengan JPA bagi memastikan
perjawatan guru pemulihan khas dapat diisi dan dihantar segera dengan tumpuan
akan diberikan kepada sekolah kurang murid dan sekolah luar bandar.
``Malah Kabinet juga mahu supaya program pemulihan khas
dimantapkan dan semua ini memang sedang dalam proses pelaksanaan kerana masalah
ini memang kita sedar ada berlaku,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Wacana Ilmu Guru-Guru Pendidikan
Islam Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Hishammuddin ditanya mengenai pendedahan Ahli Parlimen
Temerloh, Datuk Mohd. Sarit Yusoh di Parlimen semalam bahawa terdapat 100,000
murid sekolah rendah dari tahun 2 hingga tahun 6 tidak tahu membaca, mengira
dan menulis. Jumlah itu mewakili tiga peratus dari murid sekolah rendah di negara
ini.
Menurut Hishammuddin, bilangan sebenar murid yang tidak
dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) belum dapat
disahkan sama ada benar 100,000 atau kurang daripada itu. Untuk itu, katanya,
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon diarah menyiapkan laporan
lengkap mengenai masalah itu. ``Ia akan dimaklumkan esok dan dari situ baru
kita dapat tahu jumlah serta di sekolah-sekolah mana yang perlu diatasi segera.
``Namun saya percaya jumlah pelajar yang tidak dapat
menguasai sepenuhnya ketiga-tiga kemahiran itu mungkin tidak sampai 100,000
tetapi jumlah 100,000 mungkin mencakupi kegagalan menguasai salah satu dari
tiga kemahiran itu,'' jelasnya.
Beliau menambah, Kementerian Pelajaran sebenarnya sudah
melihat masalah ini sejak awal tahun ini lagi dengan Ahamad sendiri diamanahkan
untuk mengatasinya. ``Kita sebelum ini berhadapan dengan bilangan guru
pemulihan yang terhad hingga kita kena kenal pasti betul-betul mana sekolah
yang efektif untuk kita hantar,'' katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Hishammuddin
berkata, beliau berhasrat melihat sekolah-sekolah agama setanding dengan
sekolah terkenal di negara ini. ``Bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia dan
pelajar yang dilahirkan di sekolah agama juga sebaris dengan pelajar yang
dilahirkan sekolah-sekolah terkenal di dunia lain. ``Ini cabaran kita, malah
sepanjang saya menghadiri persidangan UNESCO (Pertubuhan Kebudayaan, Sains dan
Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Perancis baru-baru ini, isu persepsi
terhadap umat Islam juga sangat panas dengan tragedi pengeboman Bali.
perkongsian yang bermanfaat
ReplyDeleteTuan,minta kebenaran untuk gunakan esei ini sebagai rujukan tugasan saya boleh? terima kasih tuan
ReplyDelete