Sunday, 2 September 2012

GURU PONTENG ISU SERIUS


ANALISIS ISU: Guru Ponteng Isu Serius

Guru adalah pendidik dan pembimbing kepada para pelajar yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan bangsa dan negara pada masa hadapan. Menurut dari laman web Wikipedia Bahasa Melayu Ensiklopedia Bebas menyatakan bahawa, guru (dari bahasa Sanskrit गुरू) ataupun dikenali juga sebagai pengajar, pendidik, mudarris dan pengasuh merupakan tenaga pengajar dalam institusi pendidikan seperti sekolah atau tuisyen (kelas bimbingan). Dalam zaman moden ini, guru juga merupakan istilah yang digunakan untuk seorang yang pakar dalam sesuatu bidang misalnya “management guru” merujuk kepada seorang yang pakar dan handal dalam bidang pengurusan. Di peringkat universiti, guru diberi gelaran tutor atau pensyarah. Lazimnya guru perlu mahir dalam sesuatu mata pelajaran serta diperkukuhkan pula dengan pengetahuan dalam bidang pedagogi atau sains prinsip pengajaran.

Sememangnya guru memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan negara. Selain menyebar ilmu segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada pelajar selain mereka dapat membina masyarakat yang mempunyai budaya yang bertamadun tinggi. Seseorang guru yang baik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi seperti baik hati, pandai berjenaka, sabar,bertanggungjawab, yakin pada diri dan mempunyai sifat kepimpinan (Mok Soon Sang, 1988). Golongan ini amat penting dalam usaha menjana modal insan yang berpendidikan tinggi serta berakhlak mulia. Modal insan yang berkualiti amat diperlukan oleh negara bagi membangunkan Malaysia dalam pelbagai sektor kritikal terutamanya teknologi maklumat, perindustrian, perubatan, perbankan, perdagangan dan sebagainya yang selama ini kita masih  berada dalam serba kekurangan Oleh itu, amatlah mustahak untuk kerajaan menumpukan kepada usaha melahirkan modal-modal insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat tempatan bagi menjana pertumbuhan negara ke arah yang lebih progresif dan mapan.

Bagi mencapai matlamat ini, bidang pendidikan perlu diperkasakan dariperingkat rendah bagi mendidik dan seterusnya melahirkan warganegara yang dapat bersaing dalam suasana yang amat kompetitif dan mencabar di peringkat antarabangsa. Justeru, apabila kita melihat situasi ini, tanggungjawab serta amanah bagi memikul profesion sebagai seorang guru kini berada dalam keadaan genting kerana objektif untuk melahirkan modal insan yang cemerlang secepat mungkin terletak sepenuhnya di bahu mereka.  Justeru itu, guru perlu mempunyai tatasusila yang tinggi dan berkomitmen menjalankan tugas sebagai pendidik dengan baik. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir memberitahu bahawa daripada tahun 1995 hingga tahun 2008, sebanyak 41 kes keruntuhan moral membabitkan guru dilaporkan (Utusan Malaysia, 18 September 2008). Antara kes keruntuhan moral disebutkan beliau adalah perbuatan sumbang mahram dan bersekedudukan. Media juga turut melaporkan kes-kes lain seperti guru memukul murid, guru besar menyembunyikan kes-kes disiplin, dan sebagainya yang telah menarik perhatian umum serta menguji kredibiliti profesion perguruan.

Pendedahan-pendedahan salah laku guru-guru boleh mengakibatkan kewibawaan profesion keguruan tergugat pada pandangan umum. Salah satu contoh isu yang serius melanda profesion ini ialah isu guru ponteng tugas. Menurut laporan dari akhbar The Borneo Post, melaporkan bahawa hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru dari 11 sekolah tidak hadir bertugas, manakala pada 25 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14 sekolah juga tidak hadir bertugas. Hal ini amat bertentangan dengan peranan dan tatasusila perguruan di Malaysia yang menyatakan guru perlu mematuhi kod etika perguruan iaitu menjalankan tanggungjawabnya guru kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat dan masyarakat dan negara.

Kita biasa mendengar isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Pelbagai pihak telah pun mengambil inisiatif bagi menagani masalah ponteng dalam kalangan pelajar. Namun isu ponteng dalam kalangan guru merupakan suatu perkara yang jarang dan tidak patut didengar memandangkan ia sebenarnya melibat suatu ancaman serius terhadap etika dan profesion perguruan itu sendiri. Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Berdasarkan definisi ini, apa yang kita dapat fahami ialah, seseorang guru yang ponteng adalah guru yang tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang guru kepada pelajar-pelajarnya di sekolah. Justeru, dalam menilai isu ini, kita perlu melihat apakah punca-punca dan kesan-kesan guru ponteng dari tugasnya.

Salah satu punca masalah guru ponteng yang dilihat antara punca utama yang menyumbang kepada masalah ini ialah bebanan dan cabaran kerja yang dihadapi oleh guru itu sendiri. Bebanan dan cabaran kerjaya guru pada masa kini menuntut individu yang menceburi profesion ini untuk menjadi individu serba boleh dan multi-disiplin. Bermula dari seorang pengurus pengajaran dan pembelajaran, melaksanakan tugas-tugas pengurusan murid, kelas, rekod, dan seumpamanya. Oleh sebab itu, sepanjang seorang guru berkhidmat di sesebuah sekolah, guru perlu bersedia dari segala aspek terutamanya sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran, atau dengan makna lain , ia bermaksud bahawa seseorang guru pada masa kini mesti tahap kesediaan yang tinggi sebelum melakukan apa-apa jua tugas yang melibatkan bidangnya. Sebagai contoh, dari aspek pengurusan pengajaran dan pembelajaran, boleh dikatakan penyediaan bahan-bahan untuk mengajar dan tugas mengajar pelajar sekolah boleh menyebabkan guru mula merasakan tekanan kerana tugas tersebut perlu dilakukan setiap hari (lima hari seminggu). Tambahan pula, guru perlu memastikan kualiti bahan-bahan pengajaran sentiasa tinggi dan selalu dikemaskinikan bagi membantu mempermudah pemahaman pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Selain daripada perkara di atas, guru juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah-masalah disiplin pelajar yang menyebabkan tekanan emosi terhadap guru yang seterusnya menyebabkan guru mula meninggalkan amanah yang dipikul mereka atau dengan istilah yang lebih tepat, ponteng. Ponteng kerja semestinya menjadi jalan paling mudah untuk guru melepaskan rasa tekanan mereka biarpun perkara ini bukanlah sesuatu yang baik untuk dilakukan. Tekanan yang berpunca daripada disiplin pelajar dan beban kerja menjadi antara sebab utama memaksa guru “melarikan diri” daripada tugas buat sementara waktu untuk menenangkan minda mereka. Tekanan akibat perlakuan pelajar yang di luar kawalan guru dan tindakan dari sesetengah mereka yang sanggup melawan arahan yang diberikan guru menambahkan lagi tekanan yang seterusnya menyebabkan guru mula meninggalkan tanggungjawab mereka atau diistilahkan sebagai ponteng. Namun dari satu aspek, kita boleh menganggap guru terpaksa berbuat begitu kerana tidak mahu terlepas cakap atau bertindak di luar dugaan terhadap pelajar-pelajar yang akhirnya akan membawa keadaan ini menjadi semakin teruk sebagaimana kes guru mendera murid atau seumpamanya.

Kita juga boleh melihat aspek-aspek lain apabila membincangkan isu guru ponteng ini. Antara salah satu faktor yang menjadi salah punca guru ponteng ialah ketidakserasian hubungan antara guru dengan pihak pentadbiran sekolah. Masalah ini merupakan masalah yang melibatkan organisasi yang menguruskan sekolah di mana seseorang guru itu bertugas. Masalah ini biasanya wujud apabila pihak pentadbiran mengamalkan gaya pentadbiran yang bersifat autokratik. Hal ini bermaksud sebarang keputusan yang ditetapkan untuk aktiviti dan pengurusan sekolah hanya dibuat oleh pihak pentadbir sahaja tanpa mengira pendapat guru-guru yang sebenarnya menjadi sebahagian organisasi dalam  sesebuah sekolah. Kesan gaya kepimpinan pihak pentadbir sebegini sebenarnya akan memburukkan hubungan sosial antara guru dan pihak pentadbir. Situasi ini boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan memberontak dalam kalangan guru disebabkan pandangan dan luahan hati mereka tidak didengar oleh pihak pentadbir. Justeru, pernyataan ini boleh dibuktikan di mana ada guru yang ponteng ketika mesyuarat  dan sesi perbincangan bersama pentadbir sekolah kerana mereka beranggapan pandangan dan pendapat mereka tidak akan diambil peduli oleh pihak pentadbiran sekolah.

Namun, dari aspek yang lain apabila kita menyentuh peranan pihak pentadbiran sekolah dalam membicarakan isu guru ponteng ini, sebenarnya kita akan dapat melihat suatu lagi peranan yang amat penting oleh pihak pentabiran sekolah dalm isu ini, iaitu aspek pemantauan terhadap disiplin dan sahsiah guru itu sendiri. Akibat kurangannya pemantauan dan tindakan tegas yang diambil oleh pentadbir sekolah terhadap guru yang sering ponteng ini boleh menjadi salah satu faktor utama menyumbang kepada isu ini berlaku. Ketegasan pihak pentadbir di sini bukan bermaksud membuat keputusan mereka sendiri untuk menghukum atau membebankan guru terbabit dengan arahan yang dikeluarkan pihak pentadbir, tetapi lebih untuk menjaga etika dan sahsiah keguruan seseorang guru tersebut. Keprihatinan pihak pentadbir terhadap masalah ini wajar dititikberatkan selaras dengan usaha Kementerian Pelajaran melaksanakan Program AKUN bermula pada tahun ini sehingga 2016. Program ini bertujuan meningkatkan peratusan kehadiran guru di sekolah selain memantapkan lagi keberkesanan penyampaian serta penyebaran maklumat pekeliling dan peraturan di semua peringkat, menerusi empat strategi pelaksanaan iaitu e-Cerap, Pemantauan Silang, Pemantauan Bersepadu dan e-Hadir,” katanya. Elemen e-Hadir dan e-Cerap dalam program ini membolehkan pemantauan kehadiran guru dan anggota kakitangan sokongan serta pelaksanaan proses pencerapan dilakukan secara online. Justeru, pihak pentadbiran sekolah tidak mempunyai alasan lagi dalam menangani isu ponteng dan masalah ketidahadiran guru ke sekolah.

Masalah ketidakhadiran guru sekolah atau isu guru ponteng juga boleh dikaitkan persekitaran kerja seorang guru itu sendiri. Ketiadaan suasana yang kondusif yang mampu menjana prestasi dalam kerjaya seorang guru juga merupakan antara faktor yang menyebabkan isu ponteng dalam kalangan guru ini berlaku. Suasana kondusif di sini merujuk kepada persekitaran fizikal yang meliputi infrastruktur dan kemudahan asas, kecekapan pengurusan organisasi ( pentadbiran sekolah ) dan perhubungan dengan rakan sekerja. Persekitaran fizikal merupakan salah satu aspek yang boleh meransang potensi guru dalam melaksanakan tanggungjawabnya di sekolah. Penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas seperti elektrik, air dan jaringan talian komunikasi yang baik akan memudahkan seseorang guru dalam melaksanakan tugasannya. Namun begitu, hal ini amat lain khususnya apabila seseorang guru itu (terutamanya guru-baru) apabila ditempatkan di kawasan luar bandar dan pedalaman. Kemudahan-kemudahan ini agak sukar diperolehi dan perkara ini boleh menyebabkan banyak kerja guru tertangguh. Situasi ini seterusnya boleh menyebabkan guru hilang semangat dalam melaksanakan tanggungjawabnya yang seterusnya akan menyumbangkan berlakunya kes ponteng dalam kalangan guru. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika terdapat laporan di dada-dada akhbar yang mengatakan kebanyakkan isu guru ponteng berlaku di kawasan-kawasan pedalaman sebagaimana laporan akhbar The Borneo Post yang telah nyatakan pada awal tadi. Selain itu, pengurusan organisasi yang lemah juga dilihat antara sebab guru kehilangan minat untuk melaksanakan tugas mereka dengan lebih efisien. Tekanan pihak pentadbir yang sentiasa mahukan setiap guru menerima jawatan-jawatan (yang tidak berkaitan dengan kepakaran sebagai seorang guru) yang diberikan kepada mereka merupakan suatu lagi bentuk paksaan yang terpaksa dihadapi oleh para guru. Ada juga guru tertekan kerana gaji dan kemudahan dinikmati tidak setimpal dengan tanggungjawab yang perlu dipikul. Ini kerana, kebelakangan ini banyak aktiviti atau program yang harus mereka selia dan hadiri di sekolah, sedangkan pada masa sama mereka juga harus menunaikan tanggungjawab lain, terutamanya menguruskan keluarga sendiri.

Punca-punca yang dinyatakan di atas sememangnya menyumbang kepada berlakunya masalah ketidakhadiran kerja atau isu ponteng dalam kalangan guru. Terdapat banyak implikasi atau kesan yang negatif kepada pelbagai pihak apabila isu ini sering berlaku terutamanya apabila ia tidak dikawal dan ditangani dengan baik. Sebagai contoh, ketiadaan guru ketika khidmat mereka ditagihkan menjadikan pelajar hilang punca kerana kebergantungan mereka terhadap guru untuk mendapatkan ilmu. Banyak masa yang sepatutnya digunakan pelajar untuk menimba daripada guru berkenaan akan berlalu begitu sahaja. Malah apa yang lebih membimbangkan, perkara negatif juga boleh turut menyumbang kepada gejala ponteng dalam kalangan pelajar memandangkan mereka mempunyai peluang untuk melakukan demikian hasil sikap guru mereka sendiri sebagaimana pepatah Melayu mengatakan, “ guru kencing berdiri, murid kencing berlari-lari ”. Apa yang lebih membimbangkan ialah, prestasi pelajar dalam peperiksaan juga akan menurun apabila guru gagal untuk menghabiskan silibus pengajaran seperti yang terkandung dalam rancangan pengajaran mereka. Perkara yang sama juga turut berlaku kepada aktiviti-aktiviti kokurikulum di mana aktiviti-aktiviti ini juga tidak akan berjalan dengan lancar tanpa kehadiran guru untuk memberi khidmat nasihat dan panduan berguna kepada persatuan dan kelab. Sememangnya ketidakhadiran guru atau masalah isu guru ponteng ini akan meninggalkan impak yang amat ketara kepada pelajar, bahkan lebih teruk lagi ia juga boleh menjadi sebab utama menyumbang kepada masalah disiplin dan akhlak pelajar itu sendiri.

Kesan dari isu guru ponteng ini juga tidak terhenti di situ sahaja, dari aspek pengurusan organisasi, pentadbiran sekolah juga turut bergerak perlahan kerana tidak mendapat kerjasama penuh daripada guru yang bertindak “melarikan diri”  dalam memastikan segala laporan, kertas kerja dan data pelajar dihantar tepat pada waktunya untuk memudahkan pihak sekolah membuat perancangan tahunan. Keadaan ini akan menyebabkan banyak aktiviti, program dan hal-hal yang melibatkan pengurusan dan pentadbiran sekolah yang melibatkan pelbagai pihak tertangguh kesan sikap guru yang suka ponteng ini. Kita sedia maklum bahawa sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah melibat banyak pihak, bermula dari murid, rakan sejawat, ibu bapa, pentadbir sekolah dan sehinggalah kepada pihak kementerian. Setiap pihak tersebut mempunyai karenah dan masalah yang tersendiri dari pelbagai aspek. Oleh sebab itu, kesemua perkara tersebut memerlukan masa bagi menyelesaikannya. Jika guru tidak berada di sekolah bagi menguruskan perkara-perkara seumpama ini, maka ia memberikan kesan yang negatif kepada elemen pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Fungsi sekolah sebagai tempat menimba ilmu juga akan turut terjejas hasil dari sikap guru yang selalu ponteng dari tugas mereka yang sepatutnya mendidik dan memberi ilmu kepada murid. Impak yang paling besar yang akan diterima oleh pihak sekolah ialah kemerosotan prestasi sekolah. Penurunan prestasi ini bukan hanya melibatkan elemen pencapaian akademik, malah elemen pencapaian akhlak dan sahsiah dalam kalangan murid yang belajar di sekolah berkenaan. Imej sekolah berkenaan akan tercalar bukan sahaja akibat isu guru ponteng, malah kemerosotan prestasi akademik dan sahsiah murid, kesan sikap guru yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka. Perkara ini juga sekaligus merencatkan fungsi sekolah itu sendiri sebagai pusat pendidikan di mana seorang guru itu melaksanakan tanggungjawab mendidik anak muridnya sehingga menjadi modal insan yang dapat memberi sumbangan kepada agama, negara dan bangsa. Selain itu, disebalik kesan ini sebenarnya ia akan menambahkan bebanan dan tanggungjawab guru di sekolah berkenaan memandangkan pihak jabatan pelajaran atau kementerian akan melaksanakan pelbagai program untuk membaiki dan memulihkan kembali prestasi dan imej sekolah.

Profesion perguruan juga turut tidak akan terkecuali menerima kesan negatif disebabkan tindakan segelintir guru yang suka ponteng. Sudah tentunya imej profesion perguruan akan menerima kritikan dan cemuhan dari pelbagai pihak terutamanya dari pihak masyarakat. Umumnya masyarakat akan lebih cenderung untuk melihat perkara negatif berbanding perkara positif. Keadaan ini diburukkan lagi dengan peranan media massa yang sejak akhir-akhir ini dilihat begitu aktif memaparkan isu-isu negatif yang melibatkan profesion perguruan. Apa yang dilaporkan oleh media massa berkenaan kadangkala tidak sama dengan situasi yang benar-benar belaku. Walaubagaimanapun, justifikasi dan penilaian yang tidak adil oleh masyarakat dan media sewajarnya tidak boleh dipersalahkan kerana apabila kita menilai kembali isu guru ponteng ini, ia sememangnya bermula dari guru itu sendiri. Apa yang pasti kini, masyarakat mula berani untuk mempersoalkan bidang tugas dan kepakaran guru dalam mendidik anak-anak mereka. Keadaan ini merupakan tamparan hebat kepada profesion perguruan yang dianggap suatu bidang yang profesional. Kesan daripada ini juga menyebabkan majoriti pelajar-pelajar yang cemerlang lepasan sekolah menengah mula beralih arah ke bidang lain yang lebih dipandang tinggi oleh masyarakat seperti jurutera, doktor atau peguam dan bukannya bidang perguruan.

Secara keseluruhannya, apa konklusi yang boleh dibuat daripada isu ini ialah kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya yang cukup mencabar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk memberi yang terbaik kepada para pelajar. Hasil analisis isu ini juga telah mendapati terdapat pelbagai punca yang membawa kepada berlakunya isu guru ponteng sekolah. Sebenarnya,  suatu penilaian dan justifikasi yang adil sewajarnya perlu dilakukan oleh  pelbagai pihak khususnya Kementerian Pelajaran dalam membendung isu ini. Namun apabila kita merujuk kepada situasi kini, kesan-kesan yang berpunca dari guru ponteng kerja masih lagi pada tahap yang tidak membimbangkan memandangkan ia masih lagi diklasifikasikan sebagai kes yang terpencil berbanding kes-kes disiplin lain seperti kes guru memukul murid, berniaga pada waktu persekolahan dan seumpamanya. Namun, sesuatu yang positif perlu dilakukan segera oleh pihak atasan sekolah dan juga guru itu sendiri bagi mengelakkan punca-punca yang menyumbang kepada berlakunya isu guru ponteng yang boleh membawa kesan yang lebih teruk sekiranya dibiarkan berterusan. Apa yang pasti, kerjaya sebagai seorang guru atau pendidik pada era globalisasi ini menuntut individu yang ingin menceburi bidang ini mempunyai tahap kesediaan dan kesiapsiagaan yang tinggi agar individu tersebut dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya nanti dapat dilaksanakannya dengan penuh dedikasi dan komitmen.





BIBLIOGRAFI
Abu Bakar (2000) Kepemimpinan Transformasi : Hubungannya Dengan Kepuasan Kerja Dan Motivasi Guru. Universiti Utara Malaysia.


http://ms.wikipedia.org/wiki/Guru. Diakses pada 25 Ogos 2012


http://sarjana.tripod.com/guru.htm.Diakses pada 25 Ogos 2012





Mok Soon Sang, (2008) Murid dan Alam Belajar. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood, Tatabahasa Dewan Jilid 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pus Abdul Kudus,

Wan Noraini Wan Razab, Nooraini Othman (2011), Tahap Motivasi dan Tekanan Guru yang Melanjutkan Pengajian. Jurnal Kemanusiaan bil. 17. Fakulti Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia



REFLEKSI

Assalamualaikumwarahmatullah. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Taala di atas limpah rahmat serta izin-Nya akhirnya dapat saya menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan. Selawat serta salam juga kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W , kaum keluarga serta para sahabat Baginda sekalian.

Tugasan yang diberikan pada kali ini sememangnya mencabar pemikiran saya untuk melaksanakannya, memandangkan ia berkaitan dengan isu-isu semasa yang banyak menguji pemikiran dan pengetahuan saya dalam isu yang dikaji. Ia merupakan tugasan yang memerlukan banyak kajian, penelitian dan analisis yang kritikal. Walaubagaimanapun, tugasan ini telah memberi saya banyak maklumat dan panduan yang berguna terutamanya mengenai teknik dan kaedah dalam menganalisis, menafsir serta mengintrepretasi sesuatu isu yang menjadi kajian saya

Selain itu, ia juga telah membuka minda dan pandangan saya terhadap tugasan ini di mana ia sebenarnya mengajak kita untuk lebih bersifat akademik dalam meneliti dan membuat justifikasi yang adil dan rasional terhadap sesuatu isu terutamanya isu-isu pendidikan semasa yang kini sentiasa bersifat dinamik yang memerlukan banyak maklumat serta penelitian kritikal. Justeru, tugasan ini merupakan suatu input baru kepada saya yang boleh dijadikan panduan untuk menjadi seorang guru yang lebih fleksibel dan berdaya pada masa hadapan.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya dalam menyempurnakan tugasan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. Jasa mereka amat saya hargai, dan moga Allah sentiasa merahmati mereka. Insya-Allah.


Sekian, terima kasih.


27 OGOS 2012                                      MUHAMMAD NOH HILMI BIN CHE HUSSIN


LAMPIRAN



ISU MURID SEKOLAH GAGAL MEMBACA DAN MENULIS



1.0       PENGENALAN

Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.

Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat, katanya. Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah.

"Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik. "Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya. Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.

Namun, pada masa kini tugas guru telah dipersoalkan dalam semua bicara. Tugas guru yang dahulunya terlalu diangkat tinggi oleh masyarakat sekeliling telah menjadi satu bidang yang telah dipersoalkan mutunya. Ramai masyarakat berpendapat profesion keguruan tidak mencapai standard yang telah ditetapkan dan ini merupakan salah satu isu yang tidak patut timbul di kalangan masyarakat. Siapakah yang patut dipersoalkan? Guru, murid, staf sekolah ataupun masyarakat sekeliling?


2.0         ISU MURID SEKOLAH GAGAL MEMBACA DAN MENULIS
 
Saya ingin merujuk kepada tulisan Hassan Salleh bertajuk 'Di Manakah Silap Guru' di ruangan ini yang menyentuh soal wujudnya murid-murid yang masih tidak boleh membaca dan menulis. Ketika negara memasuki fasa kedua menuju Wawasan 2020, terdapat lebih 100,000 murid tahun dua hingga enam sekolah rendah di seluruh negara didapati tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Datuk Mohd. Sarit Yusoh berkata, ``Tidak guna kita laungkan ingin menjadi negara maju ke hulu ke hilir, melaungkan Wawasan 2020 tetapi terdapat tiga peratus murid sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Kementerian Pelajaran perlu mempunyai program jangka panjang bagi memastikan tidak ada lagi murid-murid sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira.'' Beliau merasakan Kementerian Pelajaran tidak melakukan pemantauan sewajarnya terhadap murid-murid sekolah rendah sehingga timbul masalah itu.

Selain itu,  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengakui hampir semua sekolah rendah di seluruh negara ada menempatkan murid yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira pada masa ini. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, senario membimbangkan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kekurangan guru bagi mengendalikan kelas pemulihan bagi murid yang mengalami masalah membaca dan menulis. ``Masalah ini sudah lama berlaku, ia hampir berlaku di setiap sekolah rendah. Kerajaan pernah cuba menangani masalah ini dengan mewujudkan kelas pemulihan bagi membantu murid ini. ``Tetapi kita dapati guru yang mengendalikan kelas ini amat terbatas, ada sekolah yang menyediakan hanya seorang guru untuk mengendalikan kelas pemulihan bagi semua kelas tahun satu hingga tahun tiga,''

Jawapan saya sebagai seorang guru yang telah lima tahun belajar di institut pendidikan guru ialah di institut pendidikan guru, kami diajar bahawa murid yang tidak mengikut peraturan perlu dihukum. Tapi hakikatnya di sekolah, semua jenis hukuman ditangguhkan. Hukuman terbesar seperti buang sekolah pun boleh dibangkang oleh murid kerana kita ada dasar pendidikan wajib 11 tahun. Jadi semua murid boleh melanggar semua peraturan sekolah, seperti ponteng kelas dan tidak perlu menyiapkan kerja sekolah kerana tidak ada satu peraturan yang boleh menyentuh mereka. Murid boleh berjalan keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar dan tidak ada siapa boleh menghalang mereka.

Di institut pendidikan guru, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan murid berbanding sekolah. Tapi hakikatnya di sekolah, guru disuruh bertungkus-lumus membuat kerja perkeranian sehingga tidak ada masa untuk mengajar. Terbaru di negeri Johor, pertandingan dibuat di antara sekolah-sekolah untuk mencari siapakah guru yang paling cekap membuat kerja perkeranian dan mengurus fail. Tentunya guru yang menang itu akan diberi anugerah dan dapat mengharumkan nama pengetua. Tapi kebanyakan guru yang menang itu tidak pernah memenangkan murid dalam apa-apa pertandingan pun. Di institut pendidikan guru, kami diajar supaya memikirkan cara bagaimana hendak mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya murid yang pelbagai kerenah boleh dibantu. Tapi hakikatnya di sekolah, yang dipelbagaikan ialah jenis jawatankuasa, borang dan fail, bukan teknik pengajaran. Akhirnya setiap guru akan memegang 10 hingga 15 jawatan dalam pelbagai jawatankuasa, dan murid kadang-kadang satu buku pun tidak ada.




3.0       KAITAN DENGAN ETIKA PERGURUAN

Integriti mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah kejujuran dan ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Ia juga merangkumi keikhlasan, keterbukaan, amanah, berpegang kepada prinsip, sukar dipengaruhi dan boleh dipercayai. Dalam teras memartabatkan profesion keguruan, integriti merupakan dorongan dalaman agar guru melaksanakan amanah mendidik anak bangsa sebaik-baiknya serta berusaha meningkatkan keupayaan diri.

Dalam permasalahan ini, guru memainkan peranan yang amat penting sebagai pendidik masyarakat. Guru mestilah prihatin dan peka terhadap keadaan atau kondisi pembelajaran murid-murid mereka. Apabila guru dapat mengesan murid yang menghadapi masalah membaca dan menulis ini, guru mestilah segera mengambil tindakan yang khusus untuk membendung masalah ini sebelum menjadi lebih kritikal. Isu yang terlibat dalam masalah ini ialah isu kepedulian guru.

Menurut beberapa orang tokoh, kepedulian guru bermaksud perwakilan komposit perasaan, pemikiran, dan perhatian yang diberikan kepada sesuatu isu atau tugas dan gabungan perasaan, pemikiran dan perhatian yang diberi oleh guru terhadap isu yang dihadapi semasa melaksanakan tugasnya. Kepedulian guru boleh dikategorikan kpd 3 peringkat iaitu
i. Penyempurnaan diri
ii.  Tugas-tugas pengajaran
iii. Impak pengajaran

Kepedulian terhadap impak pengajaran terlibat secara langsung dalam masalah ini iaitu guru perlu yakin terhadap kebolehan murid dan perlu lebih fokus kepada keperluan murid dan penambahbaikan yang perlu dilakukan kepada murid yang terlibat. Guru yang mementing kepedulian perlu mewujudkan suasana kondusif, memahami pelajar secara individu, berempati dan memenuhi keperluan akademik dan emosi pelajar dengan sepenuhnya.


4.0       PUNCA
Selain faktor kekurangan guru kelas pemulihan, masalah ini juga disebabkan oleh faktor berikut:

4.1       Murid kelas pemulihan juga terpaksa mengikuti kelas sukatan pelajaran lain, jadi mereka tidak boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas pemulihan. Kebanyakan guru tidak mempedulikan tahap murid di dalam kelas masing-masing. Mereka berasa culas untuk mengasingkan murid-murid yang lemah ini. Bagi mereka, yang penting sekali adalah untuk menghabiskan silibus yang diwajibkan ke atas mereka tanpa mempedulikan murid-murid yang akan ketinggalan.

4.2       Murid tidak mendapat pendidikan asas dari awal (prasekolah) sehingga menyukarkan mereka menyesuaikan diri dengan kelompok murid pintar. Hal ini juga melibatkan peranan ibubapa sebagai guru di rumah. Ibubapa perlu mendedahkan anak mereka dengan pendidikan awal untuk membiasakan mereka dengan keadaan pembelajaran. Ramai murid yang baru memasuki Tahun 1 tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang baru dan ini mengakibatkan mereka berasa janggal dan tidak dapat mengikut pembelajaran di dalam bilik darjah. Selain itu ada juga murid lewat mendaftar masuk kelas tahun satu (ada yang lewat hingga satu dan dua bulan) menyebabkan mereka tidak mengikuti pendidikan asas membaca dari awal.

4.3       Masalah keluarga, murid kerap tidak hadir ke sekolah sehingga ketinggalan dalam proses pembelajaran. Ada segelintir ibubapa yang memandang ringan terhadap kehadiran anak-anak mereka ke sekolah. Kadang-kadang ada murid yang tidak menyiapkan kerja sekolah, malas untuk bangun awal untuk ke sekolah, berpura-pura sakit dan sebagainya. Ibubapa yang terlalu manjakan anak mereka akan melayan kerenah anak mereka dan apabila murid-murid tidak menghadirkan diri ke sekolah, mereka akan ketinggalan dalam pembelajaran dan kadang-kadang guru tidak akan mengulang kembali pengajaran yang telah dilakukan dan ini telah menyebabkan salah satu punca murid-murid tidak dapat membaca dan menulis.

4.4       Wujud kelompok murid yang mempunyai daya pemikiran yang pantas dan lembap. Jika tidak diasingkan, yang lembap akan terus ketinggalan. Dalam aspek kepedulian, guru perlu peka dan prihatin terhadap kemampuan murid sendiri. Jika terdapat murid yang mempunyai daya pemikiran yang tajam dan pantas, mereka perlu diasingkan dari murid yang lain. Guru perlu sensitif dan mengambil berat akan masalah ini. Kadang-kadang guru berasa selesa dengan murid yang selalu faham dan tidak pernah bertanyakan mengenai isi pembelajaran dan langsung melupakan murid-murid yang lemah dan tidak faham akan pengajaran guru.

4.5       Murid tidak mempunyai sebarang minat untuk belajar. Masalah ini merupakan masalah yang paling berat dan perlu dipandang serius oleh setiap guru.jika timbul sekelumit perasaan ini dalam diri klien mereka, maka tugas guru akan menjadi lebih mencabar dan rumit. Guru dan ibubapa perlu bersekongkol untuk memastikan masalah ini tidak timbul dalam sanubari kanak-kanak walaupun sekelumit.

4.6       Kaedah Pengajaran Guru salah satu punca berlakunya masalah membaca dalam kalangan murid. Masalah dalam kaedah pengajaran guru yang dapat dirumuskan kepada tiga punca utama, iaitu
(i) kurang pengalaman,
(ii) penggunaan kaedah pengajaran membaca secara beramai-ramai dan individu
(iii) tidak ada kaedah yang berkesan dalam pengajaran membaca.

4.7       Faktor seterusnya yang dikenal pasti punca berlakunya masalah membaca dalam kalangan murid ialah persekitaran yang tidak kondusif. Terdapat tiga faktor persekitaran yang ditemui dalam iaitu
(i)            keluarga,
(ii)          sekolah
(iii)         rakan.


4.8       Faktor sekolah juga adalah penyumbang kepada masalah ini. Masalah membaca ini sepatutnya sudah selesai atau tidak lagi ada bagi murid darjah 6. Contoh saya pada masa ini lebih fokus kepada murid untuk menghadapi peperiksaan UPSR , saya tidaklah lagi akan banyak menumpukan perhatian kepada mengajar membaca murid-murid yang lemah ini, kerana bagi saya murid darjah 6 ini mesti lulus peperiksaan PSR ini nanti. Caranya saja ialah murid yang lemah ini diajar oleh guru-guru lain khusus untuk membaca sahaja. Bagi saja ini sudah terlambat. Sepatutnya mengatasi kelemahan membaca ini sudah bermula sejak murid itu dikenal pasti lemah membaca itulah. Kerana pada Darjah 1, 2 atau 3 mereka ini sepatutnya sudah mantap dengan kemahiran membaca. Jadi bila dia berada di darjah 4, 5 dan 6 tumpuan guru hanya kepada pengajaran mata pelajaran seperti Matematik, Sains, Geografi, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

4.9       Faktor Psikologi
Minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami proses pembacaannya. Terdapat dua factor yang berkaitan dengan psikologi, iaitu
(i)            kurang minat belajar dan
(ii)           kurang mengambil perhatian semasa belajar.
Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan murid.

4.10    Faktor Individu
Faktor individu berkait rapat dengan kecerdasan dan kebolehan membaca. Murid-murid yang mempunyai kecerdasan yang tinggi selalunya berpeluang memahami dengan cepat bahan bacaan yang dibaca berbanding murid yang lemah membaca. Dalam konteks kajian ini, faktor individu ialah faktor yang berkaitan dengan kecerdasan murid lemah dalam pembelajaran dan membaca. Murid-murid ini juga mempunyai ingatan yang lemah dan tidak dapat mengingat maklumat dan apa yang telah dipelajari dalam jangka masa yang panjang. Faktor kecerdasan murid atau individu adalah berkait rapat dengan kebolehan membaca mereka. Kecerdasan murid yang rendah menjadikan individu berkenaan tidak boleh mengingati apa yang dipelajari untuk jangka masa panjang dan menyebabkan murid-murid ini membuat tanggapan yang meleset dari apa yang telah dipelajari



5.0       KESAN DAN AKIBAT

Kemahiran membaca merupakan aspek yang sangat penting dalam menguasai sesuatu ilmu pengetahuan. Seseorang yang mempunyai kemahiran membaca dengan mudah dapat memperolehi serta meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Sehubungan itu kemahiran asas yang diajar di sekolah, sejak zaman berzaman yang lalu, ialah menguasai kemahiran membaca dan menulis. Para pendidik bersetuju bahawa membaca merupakan petanda pencapaian akademik yang paling signifikan.

Namun begitu, walaupun penekanan diberikan terhadap kemahiran-kemahiran tersebut, sehingga kini masih terdapat murid-murid yang tidak dapat menguasai kemahiran tersebut. Keadaan ini tidak dapat dipandang ringan kerana dalam zaman globalisasi ini, dengan perubahan yang mendadak dari segala aspek kehidupan, pendidikan terus berperanan bukan sahaja sekadar untuk mencelikkan mereka yang buta huruf dan buta angka, tetapi turut berperanan untuk mencelikkan generasi muda kita yang buta IT, buta jati diri, buta budaya, buta nilai, budi bahasa dan sopan santun. (Majalah Pendidik Bil 55/ Dis 2008)

Kegagalan murid membaca dengan baik seringkali dikaitkan dengan kegagalan dalam peperiksaan. Kegagalan dalam peperiksaan ini banyak dipengaruhi oleh kesukaran murid-murid untuk memahami isi kandungan pelajaran yang dipelajari disebabkan oleh kegagalan mereka membaca dengan baik.

Murid yang menghadapi masalah membaca ini juga didapati berhadapan dengan masalah untuk menguasai mata pelajaran lain selain Bahasa Melayu. Akibat daripada kelemahan menguasai kemahiran membaca ini, pencapaian mereka terhadap mata pelajaran lain seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Sains juga terjejas.

Minat dan motivasi sangat dominan dan berperanan dalam membina tabiat suka membaca. Di samping itu, dorongan dan pemupukan minat perlu ditanamkan oleh guru, ibu bapa serta komuniti setempat. Minat yang tinggi terhadap membaca membolehkan individu tersebut berjaya dalam kehidupannya. Murid yang lemah menguasai kemahiran membaca akan menghadapi berbagai-bagai impak psikologi. Murid yang lemah dan tidak pandai membaca akan disingkirkan oleh kawan-kawan mereka, menyebabkan murid ini terasa terasing dan tidak dipedulikan menyebabkan mereka tidak minat belajar. Saya mendapati murid yang lemah membaca ini selalu merasa rendah diri di kalangan kawan-kawan mereka kerana mereka tahu yang mereka ini tidak ada kebolehan seperti kawan-kawan mereka itu. Disebabkan mereka tidak boleh membaca menyebabkan murid ini malas untuk belajar mungkin kerana terlalu banyak sudah mencuba akhirnya mereka merasa malaslah untuk mencuba. Murid yang lemah membaca ini juga kurang motivasi untuk belajar berbanding murid yang pandai membaca.


6.0       LANGKAH MENGATASI

Tanggungjawab guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran sememangnya berat kerana guru bukan sahaja bertanggungjawab memberi pengalaman kepada pelajar dalam bidang mata pelajaran yang diajar tetapi ia juga bertujuan membentuk pelajar menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Kalau itu tidak mencukupi banyak lagi tugas dan tanggungjawab guru yang ditanggungnya di luar proses pengajaran. Tugas guru bukannya mudah kerana ada banyak perkara lain yang dianggap seseorang guru harus boleh lakukan sungguh pun guru itu tidak mendapat latihan khusus dalam bidang itu.

Tanggungjawab dalam bidang pengajaran dan pembelajaran membaca bukannya terhad pada seseorang guru sahaja. Untuk setiap mata pelajaran disediakkan buku teks. Ini bererti setiap guru mata pelajaran juga harus menjadi seorang guru bacaan. Kalau ditanya kepada guru, ramai akan mengatakan bahawa buku teks digunakan sebagai rujukan atau untuk memberi latihan kepada pelajar. Persoalannya ialah bilakah pelajar betul-betul berpeluang untuk diberi kemahiran membaca dalam erti kata membaca dengan penuh perhatian. Begitulah juga keadaannya di dalam kelas bahasa, membaca tidak begitu penting, yang penting ialah menjawab soalan kefahaman, lalu kita akan bertanya tanggungjawab siapakah untuk mengajar membaca. Latihan yang diterima oleh guru dalam bidang membaca terlalu minima dan ada guru yang tidak pernah menerima sebarang pendedahan tentang pengajaran membaca dan ilmu membaca terutamanya guru mata pelajaran. Kefahaman tentang ilmu membaca terlalu penting untuk diabaikan dalam proses pendidikan guru. Sekurang-kurangnya apabila seorang guru itu tamat pengajiannya dia telah pun menerima pendedahan dalam bidang ilmu membaca dan pengajaran membaca.

Pihak Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan beberapa program di sekolah antaranya program KIA2M atau Kelas Intervensi Awalan Membaca dan Menulis serta program pemulihan bagi memastikan murid-murid dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis sejak di peringkat awal lagi. Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M) bertujuan untuk membantu murid yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu pada tahun satu. Kumpulan murid ini adalah terdiri daripada mereka yang lambat atau belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Mereka ini bukan hanya terdiri daripada murid pemulihan khas tetapi juga dari kalangan murid yang hanya perlukan pemulihan dalam kelas. Oleh itu strategi pengajaran dan pembelajaran yang hendak digunakan perlulah sesuai dengan keperluan untuk membantu murid ini menguasai kemahiran asas ini dengan seberapa segera yang boleh.
a. Berpusatkan Guru
Guru merancang dan menjalankan tugas secara individu dan murid akan belajar berdasarkan apa yang disampaikan dan diarahkan oleh guru sahaja.
b. Berpusatkan Murid
Murid diberi galakan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dirancangkan sama ada secara individu, kumpulan kecil ataupun kelas.
c. Berpusatkan Bahan
Bahan-bahan pembelajaran yang diperlukan telah disusun, sesuai dengan perancangan yang dibuat. Murid diberi penerangan yang jelas tentang keperluan aktiviti yang akan dijalankan.
d. Pendekatan secara kelas
Pendekatan secara kelas perlu juga dijalankan supaya murid dapat melibatkan diri dan meningkatkan keyakinan diri dalam aktiviti berkumpulan yang lebih besar. Aktiviti ini lebih sesuai dijalankan di awal dan di akhir waktu belajar.
e. Pendekatan secara berkumpulan
Konsep pengajaran dan pembelajaran berkumpulan berasaskan kepada perubahan strategi pengajaran yang berpusatkan guru kepada strategi yang berpusatkan murid. Kumpulan kecil yang ahlinya terdiri daripada murid yang menghadapi masalah yang sama atau hampir sama dibentuk. Guru menjalankan pengajaran dengan menggunakan modul pengajaran yang disediakan.
f. Pendekatan secara individu
Guru menumpukan perhatian kepada murid secara individu bagi membantu membimbing untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Selain itu bantuan daripada rakan sebaya juga boleh digunakan jika perlu.


7.0        PENUTUP

Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang teruk dan juga untuk kanak-kanak berke[perluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat sesuai digunakan. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu kaedah, maka guru hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang disaran dalam kaedah itu. Sekiranya guru tidak mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan atau mengikut sebahagian darikpada langkah sahaja, maka guru tidak boleh mengatakan yang dia menggunakan kaedah tersebut.

Dengan jumlah penduduk yang tidak ramai dan dilengkapi dengan kemudahan pendidikan yang serba maju, sepatutnya masalah tidak boleh membaca ini tidak boleh berlaku atau sekurangnya dalam jumlah yang sedikit. Terdapat banyak faktor yang telah dikenal pasti. Oleh itu, agensi-agensi bawah Kementerian Pelajaran seperti Pusat Perkembangan Kurikulum, Bahagian Buku Teks, Bahagian Pendidikan dan Latihan Guru, Jabatan Pendidikan Dearah dan lain-lain perlu mengenalpasti langkah-langkah untuk mengatasi masalah ketidakbolehan membaca dalam kalangan murid ini.

 Dalam kajian ini, saya dapat mengasah lagi kemahiran dan ilmu saya dalam bidang perguruan. Saya dapat mengkaji dan memahami beberapa masalah yang semakin meruncing dalam profesion keguruan. Saya harap, melalui kajian ini dapat saya manfaatkan dengan sepenuhnya untuk kegunaan saya pada masa hadapan.




8.0       BIBLIOGRAFI


BUKU

Syed Ismail Bin Syed Mustafa, Ahmad Subki Bin Miskon, Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru,  2010, Kuala Lumpur terbitan Multimedia Sdn Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru,  2010, Kuala Lumpur terbitan Oxford Fajar Sdn Bhd


WEB





9.0       REFLEKSI
            Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya, saya telah dapat menyiapkan Kerja Kursus Projek (KKP) bagi subjek (EDU 3108) Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru dengan jayanya. Bagi melaksanakan kerja kursus ini, saya telah memilih satu kajian mengenai isu masalah membaca dan menulis di kalangan murid sekolah. Projek ini juga bertujuan untuk meningkatkan kepekaan saya terhadap isu-isu semasa dalam profesion keguruan.

      Apa yang saya dapat kaji dalam projek ini ialah keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini. Oleh itu guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik.

            Daripada pengalaman saya menyiapkan KKP ini, banyak ilmu dan pengalaman yang cukup berguna kepada saya sebagai seorang bakal pendidik di era globalisasi ini. Antara pengalaman berguna yang saya perolehi dalam kajian ini ialah saya dapat memaksimakan pengetahuan saya dalam bidang guru terutama sekali dalam isu masalah menulis dan membaca di kalangan murid sekolah. Saya telah mengkaji dengan mendalam dan dapat mengenal pasti segala akar umbi masalah ini dan syukur pada Tuhan, saya juga dapat menigkatkan ilmu saya dalam subjek Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru.
            
      Akhir sekali, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Puan Latifah A.Jamil selaku pensyarah bagi mata pelajaran Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan ilmu berguna kepada saya sepanjang menyiapkan kajian ini. Tidak lupa juga kepada semua waga kelas Kajian Sosial 1 yang telah memberi kerjasama dan bantuan sepanjang saya menjalankan kajian ini. Terima kasih juga kepada ahli kumpulan saya iaitu Rahman dan Noh Hilmi diatas bantuan dan panduan kalian dalam membetulkan segala salah silap saya dalam kajian ini.




10.0 LAMPIRAN
100,000 murid tahun 2 hingga 6 tidak tahu membaca
Dalam Negeri
Petikan Berita Utusan Malaysia 12 Oktober 2005

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Ketika negara memasuki fasa kedua menuju Wawasan 2020, terdapat lebih 100,000 murid tahun dua hingga enam sekolah rendah di seluruh negara didapati tidak tahu membaca, menulis dan mengira.
Datuk Mohd. Sarit Yusoh (BN-Temerloh) semasa mendedahkan angka itu berkata: ``Tidak guna kita laungkan ingin menjadi negara maju ke hulu ke hilir, untuk melaungkan Wawasan 2020 tetapi terdapat tiga peratus murid sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira. ``Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Kementerian Pelajaran perlu mempunyai program jangka panjang bagi memastikan tidak ada lagi murid-murid sekolah rendah tidak tahu membaca, menulis dan mengira.'' Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Bajet 2006 pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. Bagi sebuah negara seperti Malaysia, kata Mohd. Sarit lagi, keadaan itu tidak seharusnya berlaku.
Beliau merasakan Kementerian Pelajaran tidak melakukan pemantauan sewajarnya terhadap murid-murid sekolah rendah sehingga timbul masalah itu. Sehubungan itu ahli Parlimen tersebut menggesa agar dilaksanakan program bagi mengatasi masalah berkenaan yang dianggapnya sebagai defisit pendidikan. Mohd. Sarit juga membangkitkan mengenai infrastruktur pendidikan yang tidak selari di seluruh negara kerana ada sekolah-sekolah yang tidak ada bekalan air, elektrik dan kemudahan lain. ``Apa yang menjadi persoalannya ialah bukan kita tidak mampu, kalau tidak mampu lain cerita. Ini kita mampu, bagaimana keadaan ini boleh berlaku,'' ujarnya.
Sehubungan itu beliau meminta Kementerian Pelajaran menyelesaikan masalah itu dengan segera dengan harapan ia tidak lagi timbul tahun depan.


NUTP akui banyak murid tak tahu baca

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengakui hampir semua sekolah rendah di seluruh negara ada menempatkan murid yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira pada masa ini.
Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, senario membimbangkan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kekurangan guru bagi mengendalikan kelas pemulihan bagi murid yang mengalami masalah membaca dan menulis. ``Masalah ini sudah lama berlaku, ia hampir berlaku di setiap sekolah rendah. Kerajaan pernah cuba menangani masalah ini dengan mewujudkan kelas pemulihan bagi membantu murid ini.
``Tetapi kita dapati guru yang mengendalikan kelas ini amat terbatas, ada sekolah yang menyediakan hanya seorang guru untuk mengendalikan kelas pemulihan bagi semua kelas tahun satu hingga tahun tiga,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas kenyataan seorang penyokong kerajaan yang mendedahkan 114,000 murid dari tahun dua hingga tahun enam di seluruh negara tidak tahu membaca, menulis dan mengira.








Kementerian sedar wujud murid tidak tahu membaca

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Kementerian Pelajaran menyedari wujudnya masalah murid yang tidak tahu membaca, menulis dan mengira seperti yang dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha mengatasi masalah itu sedang dilakukan termasuk persetujuan Kabinet supaya guru pemulihan khas segera ditambah segera ke sekolah terbabit. ``Jadi tugas kita sekarang adalah untuk bekerjasama dengan JPA bagi memastikan perjawatan guru pemulihan khas dapat diisi dan dihantar segera dengan tumpuan akan diberikan kepada sekolah kurang murid dan sekolah luar bandar.
``Malah Kabinet juga mahu supaya program pemulihan khas dimantapkan dan semua ini memang sedang dalam proses pelaksanaan kerana masalah ini memang kita sedar ada berlaku,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Wacana Ilmu Guru-Guru Pendidikan Islam Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Hishammuddin ditanya mengenai pendedahan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd. Sarit Yusoh di Parlimen semalam bahawa terdapat 100,000 murid sekolah rendah dari tahun 2 hingga tahun 6 tidak tahu membaca, mengira dan menulis. Jumlah itu mewakili tiga peratus dari murid sekolah rendah di negara ini.
Menurut Hishammuddin, bilangan sebenar murid yang tidak dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) belum dapat disahkan sama ada benar 100,000 atau kurang daripada itu. Untuk itu, katanya, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Ahamad Sipon diarah menyiapkan laporan lengkap mengenai masalah itu. ``Ia akan dimaklumkan esok dan dari situ baru kita dapat tahu jumlah serta di sekolah-sekolah mana yang perlu diatasi segera.
``Namun saya percaya jumlah pelajar yang tidak dapat menguasai sepenuhnya ketiga-tiga kemahiran itu mungkin tidak sampai 100,000 tetapi jumlah 100,000 mungkin mencakupi kegagalan menguasai salah satu dari tiga kemahiran itu,'' jelasnya.
Beliau menambah, Kementerian Pelajaran sebenarnya sudah melihat masalah ini sejak awal tahun ini lagi dengan Ahamad sendiri diamanahkan untuk mengatasinya. ``Kita sebelum ini berhadapan dengan bilangan guru pemulihan yang terhad hingga kita kena kenal pasti betul-betul mana sekolah yang efektif untuk kita hantar,'' katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Hishammuddin berkata, beliau berhasrat melihat sekolah-sekolah agama setanding dengan sekolah terkenal di negara ini. ``Bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia dan pelajar yang dilahirkan di sekolah agama juga sebaris dengan pelajar yang dilahirkan sekolah-sekolah terkenal di dunia lain. ``Ini cabaran kita, malah sepanjang saya menghadiri persidangan UNESCO (Pertubuhan Kebudayaan, Sains dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Perancis baru-baru ini, isu persepsi terhadap umat Islam juga sangat panas dengan tragedi pengeboman Bali.